Monday 3 September 2012

Istikharahku membisikkan sesuatu…



~Assalamualaikum~
Semoga hati anda dilimpahi cahaya Rabb-Nya



Persoalan yang sering diungkapkan oleh remaja :

“ Lepas istikharah mesti nampak dalam mimpi ke?”

“ Dia kata, dia akan tetap cuba dapatkan saya  sebab dia nampak dalam mimpi lepas buat istikharah.Macam mana tu?  Perlu ke saya terima dia padahal saya tak yakin pun dengannya?”

“ Saya takutlah nak buat istikharah. Takut nanti nampak apa  yang saya tak berkenaan.”


Apa itu istikharah?

Istikharah merupakan suatu doa dalam membuat sesuatu pilihan sama ada dilakukan dengan cara berdoa sahaja atau sebaik-baiknya solat sunat terlebih dahulu kemudian diikuti dengan doa. Solat ini dilakukan bukan dalam urusan  memilih jodoh semata-mata bahkan dalam apa jua urusan yang melibatkan dilema membuat pilihan seperti kerjaya misalnya. Serahkan kepada Allah swt dalam membuat pilihan dengan Istikharah dan melakukan musyawarah (berbincang).


Istikhrah menghapus unsur-unsur ramalan


Islam datang memancarkan sinar ketika masyarakat Arab Jahiliyah sedang tenggelam dengan amalan menilik nasib, dukun, matera & meramal masa depan. Antaranya seperti meramal dengan binatang,meramal dengan sebab sial burung atau mengundi dengan belahan kayu keras yang telah dihaluskan, meramal untuk mengetahui waktu yang sesuai untuk memulakan perniagaan atau meramal kalah menang dalam perjudian dan sebagainya.


Firman Allah swt yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala danmengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya.
(Surah al-Ma’idah, 5:90)


Galakan Istikharah

Ulama Salafussolleh bersepakat bahawa istikharah itu sunah bukan wajib.

Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w mngajar kami beristikhrah dalam semua pekerjaan bagaimana Baginda mengajar kami satu surah daripada Al-Quran, sabdanya: “Apabila seseorang dari kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini…”(HR Bukhari)

Imam Al- Syawkani berkata dalam Nayl Al-Autar bahawa istikharah disyariatkan di dalam Islam  dan tidak di ketahui terdapat khilaf padanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “salah satu sumber kebahagiaan anak adam adalah Istikharahnya kepada Allah swt dan redha apa yang ditentukan kepadanya. Manakala keburukan anak adam ialah meninggalkan istikharah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya. 
(HR Ahmad & al-Tirmizi)


Petunjuk Istikharah melalui mimpi???
     
      Petunjuk istikharah tidak semestinya dalam bentuk mimpi. Malah boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi dan disokong oleh kebanyakan ulama. Setelah beristikharah dan berbincang kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk.

        Jika seseorang mengalami mimpi yang menenangkan hatinya setelah beristikharah, ianya hanyalah satu bonus daripada Allah swt buatnya. Tapi petunjuk tidak semestinya melalui mimpi! Jangan terpedaya dengan seseorang yang berhujah dengan mimpinya sendiri untuk memaksa orang lain menerima dirinya. Mimpi orang lain tidak boleh menjadi hujah bagi kita!

          Hatta kalau kita sendiri yang bermimpikan seseorang setelah istikharah, kita mesti memastikan dahulu mimpi itu tidak dipengaruhi oleh kecenderungan tertentu akibat tidak menjaga hati dan membiasakan hati dengan banyak pekara yang melalaikan.

Imam Ibn Hajar al-Asqhalani menekankan supaya jangan cenderung kepada salah satu antara dua atau lebih sebelum membuat pilihan.
(Fath Al-Bari, 11/22)

Sebaiknya jangan sandarkan keputusan sepenuhnya kepada mimpi tanpa mempertimbangkan hujah yang jelas dengan perbincangan melalui petunjuk Al-Quran dan sunah.


Menunggu, istikharah dan Usaha?


Ya, wanita juga perlu berusaha. Tapi bagaimana caranya?

1)    Berusaha menyediakan diri sebagai produk “solehah” yang diidam-idamkan. Produk “solehah” yang bermutu tinggi akan mempunyai permintaan yang tinggi di dunia dan di akhirat. Apabila sesuai masanya dan tepat orangnya, serahkanlah “kesediaan hati” untuk dirisik dan dipinang dengan jalan yang syarak.

2)    Berusaha mengawal diri supaya jangan tergedik-gedik, mudah menyerah dan mudah melayan kerana wanita sebegini biasanya begitu senang untuk dimiliki oleh lelaki yang tidak berakhlak dan mudah juga untuk dipersia-siakan.

3)    Berkawanlah dengan rakan-rakan sama jantina yang solehah. Jodoh anda mungkin dalam kalangan kenalan mereka, adik beradik atau saudara-mara mereka yang soleh juga. Namun jelaskan niat bahawa itu bukan matlamat tetapi wasilah semata-mata.

4)    Jika anda terpikat pada agama dan akhlak seseorang lelaki dan anda ingin memulakan, pilihlah cara melalui orang tengah. Jangan menghantar terus kepadanya kerana tindakan tersebut akan menjatuhkan martabat dan kemuliaan “malu” anda di matanya.

5)   Jika anda dirisik secara langsung oleh seorang lelaki dan menyenangi agama dan akhlaknya, serta berkeyakinan dia boleh berubah menjadi lebih baik, mintalah dia merisik dengan cara yang lebih mulia iaitu dengan terus melibatkan  bapa. Jangan berdua-duaan dengan lelaki ajnabi kerana tindakan tersebut adalah dosa dan boleh mengundang fitnah. Ingatlah bahawa dengan menggunakan orang tengah dapat menjauhi fitnah dan itu adalah cara yang dilakukan oleh rasulullah saw.


      By: Fatimah Syarha Mohd Noordin

p/s: Jodoh itu telah ditetapkan oleh Allah swt semenjak kita dalam kandungan ibu kita, bezanya sama ada kita mendapatkannya dengan cara yang betul & mulia atau sebaliknya. Pilihlah…


Alhamdulillah,Alfu Syukran ya Ukht wa Akh sudi baca =)

0 comments: