Monday 3 September 2012

Istikharahku membisikkan sesuatu…



~Assalamualaikum~
Semoga hati anda dilimpahi cahaya Rabb-Nya



Persoalan yang sering diungkapkan oleh remaja :

“ Lepas istikharah mesti nampak dalam mimpi ke?”

“ Dia kata, dia akan tetap cuba dapatkan saya  sebab dia nampak dalam mimpi lepas buat istikharah.Macam mana tu?  Perlu ke saya terima dia padahal saya tak yakin pun dengannya?”

“ Saya takutlah nak buat istikharah. Takut nanti nampak apa  yang saya tak berkenaan.”


Apa itu istikharah?

Istikharah merupakan suatu doa dalam membuat sesuatu pilihan sama ada dilakukan dengan cara berdoa sahaja atau sebaik-baiknya solat sunat terlebih dahulu kemudian diikuti dengan doa. Solat ini dilakukan bukan dalam urusan  memilih jodoh semata-mata bahkan dalam apa jua urusan yang melibatkan dilema membuat pilihan seperti kerjaya misalnya. Serahkan kepada Allah swt dalam membuat pilihan dengan Istikharah dan melakukan musyawarah (berbincang).


Istikhrah menghapus unsur-unsur ramalan


Islam datang memancarkan sinar ketika masyarakat Arab Jahiliyah sedang tenggelam dengan amalan menilik nasib, dukun, matera & meramal masa depan. Antaranya seperti meramal dengan binatang,meramal dengan sebab sial burung atau mengundi dengan belahan kayu keras yang telah dihaluskan, meramal untuk mengetahui waktu yang sesuai untuk memulakan perniagaan atau meramal kalah menang dalam perjudian dan sebagainya.


Firman Allah swt yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala danmengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya.
(Surah al-Ma’idah, 5:90)


Galakan Istikharah

Ulama Salafussolleh bersepakat bahawa istikharah itu sunah bukan wajib.

Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w mngajar kami beristikhrah dalam semua pekerjaan bagaimana Baginda mengajar kami satu surah daripada Al-Quran, sabdanya: “Apabila seseorang dari kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini…”(HR Bukhari)

Imam Al- Syawkani berkata dalam Nayl Al-Autar bahawa istikharah disyariatkan di dalam Islam  dan tidak di ketahui terdapat khilaf padanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “salah satu sumber kebahagiaan anak adam adalah Istikharahnya kepada Allah swt dan redha apa yang ditentukan kepadanya. Manakala keburukan anak adam ialah meninggalkan istikharah dan membenci apa yang telah ditentukan kepadanya. 
(HR Ahmad & al-Tirmizi)


Petunjuk Istikharah melalui mimpi???
     
      Petunjuk istikharah tidak semestinya dalam bentuk mimpi. Malah boleh hadir dalam bentuk ketenangan hati. Demikian pendapat Imam Nawawi dan disokong oleh kebanyakan ulama. Setelah beristikharah dan berbincang kemudian diteguhkan pendirian dan dipermudahkan jalan ke arahnya, itupun suatu petunjuk.

        Jika seseorang mengalami mimpi yang menenangkan hatinya setelah beristikharah, ianya hanyalah satu bonus daripada Allah swt buatnya. Tapi petunjuk tidak semestinya melalui mimpi! Jangan terpedaya dengan seseorang yang berhujah dengan mimpinya sendiri untuk memaksa orang lain menerima dirinya. Mimpi orang lain tidak boleh menjadi hujah bagi kita!

          Hatta kalau kita sendiri yang bermimpikan seseorang setelah istikharah, kita mesti memastikan dahulu mimpi itu tidak dipengaruhi oleh kecenderungan tertentu akibat tidak menjaga hati dan membiasakan hati dengan banyak pekara yang melalaikan.

Imam Ibn Hajar al-Asqhalani menekankan supaya jangan cenderung kepada salah satu antara dua atau lebih sebelum membuat pilihan.
(Fath Al-Bari, 11/22)

Sebaiknya jangan sandarkan keputusan sepenuhnya kepada mimpi tanpa mempertimbangkan hujah yang jelas dengan perbincangan melalui petunjuk Al-Quran dan sunah.


Menunggu, istikharah dan Usaha?


Ya, wanita juga perlu berusaha. Tapi bagaimana caranya?

1)    Berusaha menyediakan diri sebagai produk “solehah” yang diidam-idamkan. Produk “solehah” yang bermutu tinggi akan mempunyai permintaan yang tinggi di dunia dan di akhirat. Apabila sesuai masanya dan tepat orangnya, serahkanlah “kesediaan hati” untuk dirisik dan dipinang dengan jalan yang syarak.

2)    Berusaha mengawal diri supaya jangan tergedik-gedik, mudah menyerah dan mudah melayan kerana wanita sebegini biasanya begitu senang untuk dimiliki oleh lelaki yang tidak berakhlak dan mudah juga untuk dipersia-siakan.

3)    Berkawanlah dengan rakan-rakan sama jantina yang solehah. Jodoh anda mungkin dalam kalangan kenalan mereka, adik beradik atau saudara-mara mereka yang soleh juga. Namun jelaskan niat bahawa itu bukan matlamat tetapi wasilah semata-mata.

4)    Jika anda terpikat pada agama dan akhlak seseorang lelaki dan anda ingin memulakan, pilihlah cara melalui orang tengah. Jangan menghantar terus kepadanya kerana tindakan tersebut akan menjatuhkan martabat dan kemuliaan “malu” anda di matanya.

5)   Jika anda dirisik secara langsung oleh seorang lelaki dan menyenangi agama dan akhlaknya, serta berkeyakinan dia boleh berubah menjadi lebih baik, mintalah dia merisik dengan cara yang lebih mulia iaitu dengan terus melibatkan  bapa. Jangan berdua-duaan dengan lelaki ajnabi kerana tindakan tersebut adalah dosa dan boleh mengundang fitnah. Ingatlah bahawa dengan menggunakan orang tengah dapat menjauhi fitnah dan itu adalah cara yang dilakukan oleh rasulullah saw.


      By: Fatimah Syarha Mohd Noordin

p/s: Jodoh itu telah ditetapkan oleh Allah swt semenjak kita dalam kandungan ibu kita, bezanya sama ada kita mendapatkannya dengan cara yang betul & mulia atau sebaliknya. Pilihlah…


Alhamdulillah,Alfu Syukran ya Ukht wa Akh sudi baca =)

Friday 3 August 2012

Lembaran Hidup Wanita Solehah


~Assalamualaikum wbt~
Semoga Hati anda di Limpahi dengan Cahaya Rabb-Nya



Untukmu Muslimah...



Mampukah aku menjadi seperti Siti Khadijah?
Agung Cintanya kepada Allah dan Rasulullah 
Hartanya diperjuangkan kejalan Fisabilillah
Penawar Hati kekasih Allah
Susah dan senang rela bersama...


Dapatkah kudidik Jiwa seperti Siti Aisyah?
Isteri Rasulullah yang bijak
Pendorong Kesusahan dan Penderitaan
Tiada sukar untuk dilaksanakan...


Mengalir air mataku
Melihat Pengorbanan Puteri Solehah Siti Fatimah
Akur dalam setiap perintah
Taat dengan Abuyanya yang sentiasa berjuang
Tiada memiliki harta dunia
Layaklah dia sebagai wanita penghulu syurga...  


Ketika aku marah
Inginku intip serpihan Sabar
Dari Catitan hidup Siti Sarah...


Tabah jiwaku
Setabah Ummi Nabi Ismail
Menggendong bayinya yang masih merah
Mencari air penghilang dahaga
Diterik padang pasir
Ditinggalkan suami akur tanpa bantah
Itulah wanita bernama Siti Hajar...


Mampukah aku menjadi wanita Solehah?
Mati dalam keunggulan iman
Bersinar indah, harum tersebar
Bagai wanginya pusara Masyitah...


wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah...

Alhamdulillah,Alfu Syukran ya Ukht wa Akh sudi baca =)

Tuesday 26 June 2012

Kepandaian yang Berbeza

~Assalamualaikum wbt~
Semoga hati anda di limpahi Cahaya Rabb-Nya
 Hanya sebuah cerita biasa...


Satu hari seorang Profesor bijak pandai sedang menyeberang sebuah sungai yang luas dengan sebuah sampan yang di dayung oleh seorang pak cik pendayung.

Di tengah perjalanan, si Profesor bertanya, “kamu pandai menulis dan membaca?”

“Tidak tuan. Saya buta huruf, tak dapat belajar kerana keluarga kami miskin” jawab pendayung sampan.

“Oh, kamu sudah hilang separuh daripada kehidupan kamu! Orang yang tidak pandai menulis dan membaca telah hilang separuh daripada keupayaan untuk hidup dengan berjaya.”
Sampan terus bergerak meredah sungai yang luas itu.

Sejurus kemudian, Profesor itu bertanya lagi, “kamu ada buat simpanan wang untuk masa hadapan?”

“Tidak tuan. Pendapatan saya hanya cukup-cukup untuk makan dan menyara keluarga sahaja,” jawab pak cik pendayung sampan tersebut.

“kalau begitu, kamu hilang lagi separuh daripada kehidupan kamu. Mana mungkin orang yang tidak menyimpan wang boleh hidup selesa pada masa tua nanti.”

Sampan terus bergerak. Tiba-tiba sampan itu terlanggar bucu sebuah batu dan bocor. Air mula memasuki sampan. Mereka berdua bergegas mengambil apa jua bekasuntuk mencedok air keluar dari sampan. Namun usaha mereka tidak berhasil kerana air begitu deras memasuki sampan. Ternyata sampan itu akan tenggelam!

Dalam keadaan cemas itu, si pendayung bertanya kepada Profesor,“Tuan! Tuan pandai berenang?”

“Er, er, saya tidak tahu berenang!” jawab Profesor panik.

“kalau begitu, tuan akan kehilangan seluruh hidup tuan!” kata si pendayung sampan.


By: AnggukGeleng


Ibrah: Allah tidak jadikan manusia itu bodoh, tetapi Dia menjadikan setiap orang mempunyai “kepandaian” yang berbeza-beza. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Jadi, tidak ada manusia yang bodoh. Apabila memiliki kelebihan, janganlan pandang rendah terhadap orang lain. Cuma usaha sahaja yang menjadi tangga kejayaan seseorang itu dan syukuri nikmat kelebihan yang dikurniakan Allah SWT. Selagi masih hidup carilah ilmu dan penuhkan masa anda dengan mencari ilmu seperti yang dikatakan oleh Imam al Ghazali “ Timbalah ilmu hingga ke liang lahad”.



Monolog Hati: kepada sesiapa yang bakal menjadi anak murid cikgu, Insyaallah cikgu tidak akan membandingkan kalian. Dan cikgu akan menjadi guru yang baik untuk kalian. Cuma yang cikgu mahu ingatkan usahalah bersungguh-sungguh..Ingat pesan Ibu dan Ayah..Jaga akhlak dan iman kalian.semoga hari anda dilimpahi keberkatan dan rahmat-Nya..Tunggu cikgu ya!!! (Padahal lama lagi mau jd cikgu.. ndak apa tinggal 3 tahun lagi ni mau study. Semoga perjalanan untuk menimba Ilmu dibumi Allah yang tercinta berjalan lancar…Sabar ya Suraida..3 tahun tu ndak lama..Aza aza fighting!!! hehehehe)




P/S: Jom! Jadikan teladan…muhasabah diri!!!




Alhamdulillah,Alfu Syukran ya Ukht wa Akh sudi baca =)

Cintailah Ilahi!!!

~Assalamualaikum wbt~
Semoga hati anda dihiasi cahaya Rabbani-Nya!

Khas buat sahabat-sahabatku yang masih berada di bumi Allah SWT…Apa khabar kalian?? Bagaimana iman kalian?? Semoga sihat-sihat sahaja dan dilimpahkan rahmat-Nya..

Semoga hari anda diberkati Allah SWT dan redha-Nya sentiasa berada dalam kalangan anda..


Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar..

Ramai manusia memuja alam semesta kerana mudah di nilai dengan dua mata..
Ramai manusia juga memuja wang dan harta kerana kemudahan hidup dapat dirasa..
Tidak kurang juga memuja wanita cantik kerana nafsu mudah meransang dan menarik..
Dikorban kesenangan hidup untuk memilikinya hingga terkorban maruah diri dan nilai agama..


Cintakan bunga akan layu hancur dan musnah..
Cintakan Allah SWT kekal buat selama-lamanya..
pujalah Allah SWT pasti tiada mengecewakan..
Cintailah Dia kekal tiada sudahnya..
Gunakanlah segala-galanya untuk menyembahnya..
Buat apa sahaja selagi benar untuk Allah SWT..


 Wahai sahabat-sahabat yang ku kasihi..

Sesungguhnya Allah SWT itu selayaknya kita cintai dengan sepenuh hati kerana cinta kepada-Nya hakiki dan kekal selamanya. Namun manusia sering leka dengan menyerahkan cinta kepada manusia yang belum tentu menjadi miliknya. Manusia sering berusaha untuk mendapatkan cinta manusia yang lain sehingga seringkali mengabaikan cinta kepada Allah SWT. Jangan kerana cinta terhadap manusia kita terleka dan jangan pula kerana cinta itu tergadai maruah dan agama..

Teringat ungkapan di benak fikiranku yang menyatakan “Carilah hatimu dalam tiga perkara yakni; solat malam, membaca al-Quran dan Zikrullah. Jika kamu tidak menemui hatimu di situ maka pintalah kepada Allah hati yg baru”.

Apabila kita mempunyai masa yang lapang isilah dengan mengingati Allah SWT. Bacalah Al-Quran dengan lemah lemah lembut sepertimana kita bertutur dengan kedua ibu bapa kita mahupun sahabat handai, pohonlah kepada Allah SWT agar mengurniakan lidah yang basah berzikir menyebut nama-Nya serta mintalah kepada Allah SWT supaya memberi kesihatan yang baik dan kekuatan untuk bangun malam melaksanakan solat...Insyaallah ketenangan akan hadir..!!!

Kita diciptakan Allah di dunia ini untuk menjadi khalifah di muka buminya yang indah..Agar kita dapat melaksanakan perintahnya dengan ikhlas dan yang paling utama adalah mencari KEREDHAAN-NYA!!!

Ya Allah Azza Wa Jalla..

ku pujuk hati ini supaya tidak terbuai dengan keindahan alam yang fana..seringkali aku melakukan dosa, namun Engkau Ya Allah masih memanjangkan umurku supaya aku sempat bertaubat kepadanya.

Pada Mu Ya Allah ku serah segalanya dengan sepenuh jiwa ragaku,

Hanya pada Mu yang Maha Pemurah yang dapat meredahkan jiwaku yang gundah,

Ku kesali kealpaan diriku dan takkan ku ulangi dosa-dosa itu,

Ya Allah bantu lah hambaMu dan jangan biarkan diriku terus di belenggu dosa-dosa lalu,

Ampuni dosaku dan terangi hatiku, izinkanku kembali ke jalan redhaMu,

Tiada lain yang ku harap hanya kasih sayang-Mu yang membawa ku kepada rindu hanya kepadaMu,

Ya Allah yang maha Esa berikanlah petunjukMu dan inayahMu,
Rahmatilah kami ampunilah kami…




P/S: Cinta itu tidak pernah meminta tetapi memberi dengan sepenuh rela..Berilah cinta kita tanpa keterpaksaan terhadap Allah SWT…Cinta yang sejati hanya cintakan Ilahi.






Alhamdulillah,Alfu Syukran ya Ukht wa Akh sudi baca =)

Tuesday 12 June 2012

Semoga Kau Istiqamah [Akhir]

~Assalamualaikum~
Semoga Hari Anda diberkati Allah

Lama tak update :) Apa khabar iman anda?

“Saya… sebenarnya saya suka tengok cara awak pakai tudung...kemas. Boleh tak ajarkan saya?”

Zinnirah tersenyum. Subhanallah! Sungguh dakwah itu bukan semata-mata melalui ucapan. Perlakuan, sikap, kekemasan diri semua itu perlu ada dalam diri seorang da’ie3.

“Boleh..” Cepat sahaja Zinnirah melipat telekung, bersedia untuk membantu Khalida yang akan ke kelas sebentar lagi.

Zinnirah mendapatkan tudung yang tidak terlalu labuh tapi masih mampu menutup aurat yang sebenar iaitu menutup dada dari hadapan dan juga tepi, tidak lupa juga zinnirah memastikan tudung yang dipilih itu jika ditiup angin tidak menampakkan dada.

“Terima kasih Zinnirah..”

Zinnirah senyum. 

“Pandai awak berdakwah, awak tak pilihkan saya tudung yang labuh sangat…Kalau tak mesti orang yang baru nak berjinak-jinak dengan tudung macam saya ni tak selesa nak pakai”


“Khalida… labuh tak labuh tudung tu bergantung pada keimanan dan keselesaan. Kalau awak rasa pakai tudung bidang 50 ni selesa, dah tutup dada… pakai lah, takpe.. Islam itu tidak menyusahkan umatnya..”

“Awak selesa ke pakai tudung bulat yang labuh tu?”

“Alhamdulillah… rasa aurat lebih terpelihara”

“Zinnirah, terima kasih ya… Saya pergi kelas dulu”

* * * 

Hari minggu itu Khalida pulang ke kampung meninggalkan Zinnirah keseorangan… Zinnirah redha, sms yang menjadi penghubung antaranya dengan Khalida sudah cukup menghiburkan hati..

Zinnirah, tunggu saya balik tau esok… Saya ada kejutan untuk awak

Sms itu sedikit sebanyak membuatkan Zinnirah berdebar-debar… Hari esok seakan-akan lambat untuk tiba… 

* * *

“Assalamualaikum…”

Suara Khalida di muka pintu membuatkan langkah Zinnirah laju, tombol dipulas, pintu ditarik dan kelihatanlah wajah sahabatnya yang tercinta…

“Khalida…” Air mata Zinnirah tidak mampu ditahan lagi untuk jatuh ke bumi… Deras ia mengalir lantaran terharu melihat Khalida yang cantik berjubah dan bertudung labuh..

“Zinnirah… kenapa awak menangis? Awak tak suka ye saya pakai macam ni?”

“Bukan… saya suka sangat, subhanallah… saya terharu”

“Zinnirah, terima kasih… awak banyak ajar saya, awak tak pernah marah, awak tak pernah malu berkawan dengan saya walaupun dulu saya jarang-jarang pakai tudung… Terima kasih sahabatku..”

Lantas, Khalida memeluk Zinnirah erat… Dalam hati, Zinnirah berdoa..

Semoga kau istiqamah sahabatku!

p/s: Sangat Tersentuh, moga Allah hadirkan istiqamah dalam diri kita sentiasa, insyaAllah :)


Alhamdulillah,Alfu Syukran ya Ukht wa Akh sudi baca =)

Monday 13 February 2012

Semoga Kau Istiqamah [2]

~Assalamualaikum~
Semoga Hari Anda diberkati Allah

Zinnirah merenung kembali sejarah hidup sahabatnya yang seorang itu. Khalida telah kehilangan ibu seawal usia 12 tahun, terpaksa pula dia melayan karenah adik-adiknya seramai 5 orang kerana dia merupakan anak yang sulung. Dia hanya mendapat kasih sayang dari pembantu rumahnya yang tidak pernah mengajarnya apa itu Islam. Mengenangkan itu, Zinnirah kembali tenang.

“Zinnirah, awak marah saya ke?”

Zinnirah tersentak. Wajah Khalida dipandang dengan penuh kasih seorang sahabat. Lantas, senyuman terukir di bibirnya 

“Taklah…cantik gambar-gambar awak ni…tapi saya suka gambar awak pakai tudung, cantik..”

Khalida diam. Seolah-olah mengerti apa maksud Zinnirah. “Zinnirah, kenapa kita kena pakai tudung? Kan nikmat Allah tu harus dikongsi-kongsi, salah ke saya kongsi nikmat Allah macam rambut saya semua kat orang lain?” 

Zinnirah menghela nafas.

“Khalida, kalau awak diberi pilihan untuk membeli sebiji batu permata…Dua-dua sama jenis, tapi yang satu tu diletak untuk tontonan ramai, banyak kali dibelek-belek, yang satu lagi dibungkus dengan kain, diletak dalam sebuah kotak baldu yang cantik, yang mana awak nak?” 

“Mestilah yang dalam kotak tu.” 

“Macam tu juga lah tanda kasih sayang Allah pada kita, kerana sayang, Allah suruh kita tutup semua yang patut agar semua tu diberi untuk yang teristimewa iaitu suami kita… kalau awak tak nak barang yang dah dibelek-belek, takkan awak sanggup nak bagi suami awak yang sisa-sisa sahaja?”

Khalida diam, merenung jauh…

Usai solat subuh, Zinnirah duduk di atas sejadah..merenung kembali apa yang telah dilakukan..

“Zinnirah”

Terdengar suara Khalida memanggil, Zinnirah merenung muka Khalida, penuh kasih..

“Awak dah solat?” Zinnirah bertanya.

“Dah.. er, Zinnirah, saya ada hajat sebenarnya”

“Apa dia?” ..[Bersambung]

sumber: www.iluvislam.com


Alhamdulillah,Alfu Syukran ya Ukht wa Akh sudi baca =)

Monday 30 January 2012

Semoga Kau Istiqamah [1]

~Assalamualaikum~
Semoga Hari Anda diberkati Allah


“Saya rimaslah pakai tudung labuh-labuh, baju besar-besar ni.. Panas!”

Bagaikan terngiang-ngiang suara Khalida, teman yang dikenalinya semenjak orientasi lagi yang merangkap teman sebiliknya. Zinnirah melepaskan keluhan, rasa sebak kerana masih tidak mampu menerangkan syariat Islam sebenar kepada Khalida walaupun sudah lama mereka berkenalan.

“Zinnirah! Nak tengok tak gambar masa birthday party saya hari tu?”

Zinnirah tersentak. Suara lantang Khalida membuatkan Zinnirah berpaling ke belakang. Senyuman yang paling manis dihadiahkan, istimewa buat sahabat tercinta.

“Boleh juga”

Khalida girang, cepat sahaja tangannya menunjukkan beberapa gambar dalam handphonenya. Celoteh mulutnya bercerita itu dan ini sehingga tidak terlihat kerutan pada dahi Zinnirah, hampir-hampir sahaja kening halus milik Zinnirah bercantum.

“Khalida…” Zinnirah cuba bersuara setenang mungkin.

“Ye, best kan tengok gambar-gambar ni, sorrylah tak dapat ajak awak sama… awak kan selalu sibuk, persatuan tu lah, persatuan ni lah.. Lagipun…”

“Er, Khalida, kenapa awak tak pakai tudung?” Segera Zinnirah mematikan celoteh Khalida. Khalida terdiam, berkerut-kerut dahinya seolah-olah mencari satu jawapan yang konkrit untuk diberi.

AlaKan hari tu special day saya, takpelah bukan selalu pun..”

Zinnirah beristighfar di dalam hati, jawapan yang diberi dirasakan seperti satu belati tajam yang menusuk lubuk hatinya. Hampir sahaja takungan air di kelopak mata Zinnirah jatuh ke bumi, namun Zinnirah masih cuba tersenyum.

“Kita harus mengenali siapa mad’u1 kita, jangan main hentam sahaja hendak berkata itu dan ini… Jangan main suka-suka bagi dalil-dalil Al-Quran dan Hadith kerana andai mad’u1 kita itu tidak memahami apa itu Islam sebenar, bagaimana mereka hendak menerima segala dalil-dalil tu?”

Bagaikan terngiang-ngiang suara Kak Harissah, naqibah2 halaqahnya. Zinnirah merenung...[bersambung]

sumber: www.iluvislam.com



Alhamdulillah,Alfu Syukran ya Ukht wa Akh sudi baca =)